Salam Ramadhan al-Mubarak buat pembaca 'gadis osem' dan peminat terjemahan sekalian. Moga Ramdhan kali ini lebih baik dari Ramadhan sebelumnya. InsyaAllah...
Kita sambung entri kita kali ini dengan tajuk laras bahasa. Dalam kuliah terjemahan kami,kami ada belajar mengenai laras bahasa ini. Apa itu laras bahasa sebenarnya??
Menurut Nik Safiah Karim laras bahasa bermaksud gaya atau cara penggunaan sesuatu bahasa. sesuatu bahasa bermaksud variasi bahasa yang telah dipilih daripada sekumpulan variasi yang ada pada tiap-tiap penutur. Halliday pula mendefinisikan laras bahasa sebagai variasi bahasa yang berbeza berdasarkan fungsi. Menurut beliau laras bahasa boleh berubah-ubah mengikut situasi.
Kesimpulannya, laras bahasa ini membawa maksud tertentu oleh penulis atau penuturnya. Misalnya, laras bahasa pembaca berita dan pemidato tidak sama. Laras bahasa tukang masak dan orang yang berada dalam bidang pemotoran juga adalah berbeza sama sekali.
Laras bahasa ini mempunyai beberapa jenis:
1. Laras bahasa biasa
- jenis ini adalah yang paling mudah difahami kerana ianya tidak terikat dengan mana-mana ilmu dan kebiasannya struktur ayatnya ringkas dan padat. Ayat basahan juga jarang digunakan dalam jenis ini
2. Laras bahasa perniagaan/iklan
- seperti yang kita tahu, perniagaan atau iklan adalah untuk mempromosikan sesuatu produk atau acara. Maka, dalamnya ada slogan yang boleh menarik pembaca. Dalam iklan juga terdapat ayat-ayat yang kreatif dan inovatif. Ayatnya pendek-pendek namun bersifat adjektif dan menggunakan retorik pujukan dan bahasa pengaruhan
3. Laras bahasa Sains
- Laras bahasa ini ilmiah dan bersifat formal serta tidak menggunakan bahasa basahan dan lebih bersifat fakta untuk memberi informasi yang tepat kepada pembaca. Oleh kerana ianya bersifat fakta, maka banyak istilah sains yang digunakan serta pinjaman kata dari bahasa Inggeris
4. Laras bahasa media massa
- dalam laras ini adalah mudah untuk diterima kerana ianya tidak menggunakan ayat yang tinggi, hanya bahasa yang mudah, gaya tulisan jelas, dan ketepatan isi tulisan. Dalam media massa lebih mementingkan berita yang ingin disampaikan. Oleh itu, ia tiada istilah yang khusus dan teknikal.
5. Laras bahasa rencana
- Bersifat melaporkan sesuatu kepada pembaca secara umum ataupun secara terperinci. Ianya mudah difahami oleh pembaca kerana bersifat umum dan hanya memfokuskan kepada satu tajuk sahaja
6. Laras bahasa undang-undang
- Seperti yang kita tahu, teks yang bersifat undang-undang ini mempunyai akta dan perlembagaan didalamnya. Ianya juga menggunakan istilah inggeris dalam sesetengah perkataan. Ayat lebih bersifat objektif, terperinci, tepat dan padat serta binaan ayatnya panjang.
7. Laras bahasa agama
- Dalam laras bahasa agama, terdapat banyak perkataan yang diambil dari bahasa arab. Unsur-unsur ayat Al-Quran dan Hadis juga banyak terdapat dalamnya. Membincangkan isu-isu agama untuk memberi pengetahuan dan pengajaran terhadap orang lain.
8. Laras bahasa sukan
- Menggunakan istilah sukan dan bahasa/kosa kata yang mudah difahami kerana bahasanya ringkas dan jelas. bertujuan untuk memberi maklumat perihal sukan.
9. Laras bahasa sastera/kekreatifan
- Dalam sastera, terdapat struktur ayat yang tinggi bagi dan dalam laras bahasa ini lebih bersifat imaginatif dan kiasan. Tulisan ini lebih kepada imaginasi penulis atau pengalam mereka.
10. Laras bahasa ekonomi
- Walaupun dalam laras bahasa ini tidak mementingkan struktur ayat, namun ianya bersifat ilmiah dan mempunyai data-data yang spesifik. Mementingkan susunan maklumat yang disampaikan dengan jelas dan eksplisit
11. Laras bahasa akademik
- Laras bahasa ini adalah paling penting kerana ianya bersifat ilmiah dan mementingkan kesempurnaan dan ketepatan sesuatu fakta. Mengutamakan pemaparan, perbincangan dan penghuraian. Bersifat formal, khusus dan sukar difahami jika tidak mempunyai ilmu pengetahuan dalamnya.
Kita dah mengetahui apa itu laras bahasa dan jenis-jenisnya kan? Kesimpulan yang saya dapat dalam kuliah dan pembacaan kami, untuk memterjemah perlu mempunyai ilmu pengetahuan yang luas dalam sesuatu bidang supaya kita tidak menterjemah sesuatu secara membuta tuli. Maklumat yang hendak disampaikan perlu betul agar tidak menimbulkan kekeliruan terhadap pembaca. Oleh itu, mari tambahkan ilmu kita dengan pembacaan buku-buku ilmiah. Barulah dapat menjadi penterjemah yang hebat dan disegani.
Sekian, moga bermanfaat..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan